Thursday, October 18, 2012

Info Zulhijjah



Berpuasa Pada Hari Arafah

Fadhilatnya:

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:

            Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.”
                                                            (Hadith Riwayat Imam Muslim)

            Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang. Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama (Khilaful Aula) jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:

            “Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari ‘Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya.
                                                            (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Melakukan Ibadah Qurban

Syarat-Syarat Sah Ibadah Qurban:

1.      Hendaklah binatang yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkan kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan kemudaratan terhadap kesihatan. Contohnya cacat yang teruk pada salah satu matanya, berpenyakit yang teruk, tempang atau kurus yang melampau.

2.      Waktu bagi menyembelih qurban bermula setelah selesai sembahyang Hari Raya dan bacaan khutbahnya iaitu setelah naik matahari sekadar segalah. Masanya berterusan siang dan malam sehingga hari Tasyrik yang akhir iaitu sebelum terbenam matahari pada hari tersebut. Ini berdasarkan hadis Nabi yang diriwayat oleh Al-Barra’ bin ‘Azib :

“Perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini ialah bersembahyang, kemudian kita balik dan melakukan penyembelihan qurban. Sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka ia merupakan daging yang disediakan untuk ahli keluarganya. Ia tidak dikira sebagai ibadah khas (qurban) ini sedikit pun.”

3.      Hendaklah disembelih oleh orang Islam. Orang yang berkongsi mengurbankan unta atau lembu tidak lebih dari tujuh orang di mana masing–masing menyumbang 1/7 bahagian.


Perkara Sunat Ketika Berqurban

·         Sunat menambat binatang yang hendak diqurbankan itu beberapa hari sebelum disembelih.
·         Sunat membawa dengan baik dan ihsan ketika ke tempat penyembelihan. Sunat orang yang melaksanakan ibadah qurban menyembelihnya sendiri.
·         Sunat dihadapkan ke arah qiblat ketika menyembelih qurban.
·         Sunat memilih binatang yang paling gemuk, terelok dan terbesar untuk dijadikan qurban.
·         Sunat digunakan alat yang paling tajam dan diperbuat daripada besi untuk menyembelihkanya.
·         Setelah selesai disembelih maka sunat menunggu sehingga binatang yang disembelih itu sejuk dan semua anggota tidak bergerak lagi.
·         Sunat bagi mereka yang mahu melakukan qurban tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga telah selesai berqurban.
·         Binatang qurban sunat dibaringkan di atas rusuk kiri sebelum dilakukan penyembelihan.
·         Sunat ketika melaksanakan penyembelihan qurban dilakukan dengan bertakbir, membaca basmalah, bersalawat ke atas Nabi Muhammad dan berdoa.

Perkara-Perkara Makruh Ketika Melaksanakan Ibadah Qurban

·         Berlaku kasar kepada binatang yang hendak diqurbankan seperti mengheret atau memukul semasa membawa ke tempat sembelihan atau seumpamanya.
·         Memerah susu atau menggunting bulu atau mengambil sebarang faedah dari binatang yang hendak dijadikan qurban.
·         Tidak menghadapkan ke arah qiblat semasa sembelihan dilakukan
·         Orang yang akan melaksanakan ibadah Qurban bercukur atau memotong kuku setelah tiba bulan Zulhijjah hingga sebelum penyembelihan qurban selesai dijalankan.

0 comments:

Post a Comment